Monday 14 November 2011

keindahan alam tanggungjawab kita

Ciptaan alam semesta yang penuh dengan keindahan semulajadi sememangnya mengagumkan. Walaupun banyak bangunan-bangunan baru dibina di bandar-bandar untuk memenuhi keperluan manusia namum masih ramai yang memilih untuk membina tempat kediaman mereka di bukit-bukit yang berhampiran dengan hutan semulajadi.
Air terjun semulajadi

Ini menunjukkan bahawa keindahan baru rekaan manusia tidak dapat memberikan kepuasan dan ketenangan kepada jiwa manusia sepertimana keindahan alam semulajadi.
Ini dikuatkan lagi bilamana ramai penghuni kediaman di apartmen dan kondo menyediakan satu sudut dari tempat tinggal mereka untuk menanam bunga, tidak kurang juga yang memasang air-terjun tiruan untuk mengujudkan suasana alam semulajadi.
Lebih mengagumkan bilamana mereka yang tinggal di flat kos rendah akan meletakkan pasu-pasu bunga di beranda kediaman mereka untuk mengujudkan keindahan semulajadi.  Mereka merasakan suatu kepuasan bila dapat melihat keindahan bunga yang mereka tanam.
Begitu hebatnya penciptaan alam sehingga keindahan semulajadi tidak terhad kepada kehidupan di daratan sahaja bahkan keindahan di dalam laut juga menjadi tarikan kepada manusia.
Keindahan alam semulajadi di dalam lautan menjadi pendorong kepada manusia untuk mencipta peralatan yang membolehkan mereka menjelajah sehingga ke dasar lautan yang dalam.
Tidak puas menjelajah dan menikmati keindahan di dalam lautan manusia sanggup membina akuarium yang menyerupai keindahan di dalam lautan. Terdapat juga akuarium yang dibina di dalam laut untuk menghasilkan pandangan semulajadi. Ini membuktikan bahawa manusia mempunyai naluri yang menyukai keindahan alam semulajadi.
Bagaimanapun keindahan semulajadi di atas mukabumi dan di dalam laut akan tinggal menjadi sejarah sekiranya kita semua tidak mengambil langkah proaktif dalam membendung pencemaran alam yang semakin menjadi-jadi akibat daripada pembuangan sisa industri yang tidak terkawal.
Kejadian pembuangan sisa toksik haram yang berlaku di Simpang Rengam dan Segamat beberapa tahun lepas sepatutnya membuka mata pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk lebih peka dalam menjalankan tanggungjawab mereka dalam membendung perbuatan sebegini.
Sebagai individu dan rakyat yang bertanggungjawab kita patut lebih prihatin dan bersedia membantu pihak bertanggungjawab dalam membenteras kegiatan haram sebegini.
Kita tidak mahu kegiatan tidak bertanggungjawab seperti ini berlarutan sehingga menjejaskan kualiti alam dan kehidupan anak-cucu kita di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment